Skip to main content

𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐁𝐞𝐫𝐮𝐧𝐝𝐢𝐧𝐠 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧𝐠 𝐈𝐬𝐮 𝐄-𝐈𝐧𝐯𝐨𝐢𝐬 𝐋𝐇𝐃𝐍

 
𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀

𝐊𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐁𝐞𝐫𝐮𝐧𝐝𝐢𝐧𝐠 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧𝐠 𝐈𝐬𝐮 𝐄-𝐈𝐧𝐯𝐨𝐢𝐬 𝐋𝐇𝐃𝐍

Saya ingin menyatakan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat kepada saya terhadap isu pelaksanaan sistem e-invois yang sedang diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Isu ini adalah isu besar, bukan sahaja akan memberi kesan besar kepada syarikat-syarikat besar, tetapi juga kepada usahawan kecil dan sederhana serta peniaga-peniaga kecil di seluruh negara.

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia melalui LHDN telah memperkenalkan sistem E-INVOIS, sebuah inisiatif yang dikatakan membawa sistem percukaian yang lebih telus dan efisien. Sistem ini akan mula berkuatkuasa secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024 (untuk syarikat berpendapatan lebih RM100 juta), kemudian 1 Januari 2025 (untuk syarikat berpendapatan RM25 Juta hingga RM 100 Juta) dan menyasarkan untuk merangkumi semua perniagaan menjelang 1 Julai 2025. 

E-invois ini dikatakan bertujuan mengurangkan kebocoran hasil dan memastikan ketelusan dalam transaksi perniagaan dengan menyediakan platform digital untuk semua invois. Namun, peralihan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat, khususnya peniaga kecil dan sederhana yang mungkin berhadapan dengan penambahan kos untuk pelaksanaannya, adaptasi teknologi yang belum matang dan penambahan latihan baru.

Pelaksanaan e-invois LHDN ini menimbulkan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan:

𝟏. 𝐌𝐚𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐤𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐚𝐝𝐚𝐩𝐭𝐚𝐬𝐢 𝐝𝐚𝐡𝐮𝐥𝐮 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐩𝐨𝐥𝐢𝐬𝐢 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮:

Isu paling besar yang kerajaan sering terlepas pandang ialah kebolehan rakyat beradaptasi dengan cara yang baru. Tidak semua peniaga mempunyai kemahiran teknologi yang diperlukan untuk mengendalikan sistem e-invois. Untuk menangani hal ini, kerajaan perlu sekurang-kurangnya menyediakan sokongan dan latihan yang mencukupi untuk memastikan semua peniaga dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang baru ini.

𝟐. 𝐄-𝐈𝐧𝐯𝐨𝐢𝐬 𝐦𝐞𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐤𝐚𝐭𝐞𝐠𝐨𝐫𝐢 𝐩𝐞𝐧𝐢𝐚𝐠𝐚 :

Peniaga kecil seperti penjual pasar malam dan usahawan atas talian pun mungkin akan dilibatkan dengan sistem e-invois.Menurut portal LHDN, e-invois mula berkuatkuasa secara berperingkat bermula tahun 2024 dan menyasarkan untuk merangkumi semua perniagaan menjelang Julai 2025. Adakah sistem ini sesuai untuk diaplikasikan kepada semua jenis perniagaan, termasuk yang sangat kecil dan tidak formal? Kerajaan dilihat tidak celik dengan hal ini, akhirnya akan memangsakan peniaga kecil yang kita ketahui keadannya  'kais pagi makan pagi , kais petang makan petang'. 

𝟑. 𝐄-𝐈𝐧𝐯𝐨𝐢𝐬 𝐦𝐞𝐧𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐨𝐬 𝐩𝐞𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐚𝐧 :

Banyak peniaga kecil akan berdepan dengan kos tinggi untuk melaksanakan sistem e-invois ini. Kalau dulu sebuah kedai ada seorang juruwang dalam satu masa, sekarang mungkin kedai tersebut perlukan dua orang juruwang, kerana ada penambahan kerja untuk memasukkan data pelanggan untuk setiap transaksi dan perlu membuat invois pula andai pelanggan meminta invois.Polisi sebegini akan meningkatkan beban pelaksanaan, lebih-lebih lagi kepada peniaga-peniga kecil yang berniaga untuk menampung keperluan perbelanjaan keluarga dan membantu masyarakat.

Sebagai pembangkang, saya akan memastikan bahawa isu-isu ini dibangkitkan dan dibincangkan dengan teliti di Parlimen. Saya sendiri berikrar akan menjadi suara kepada rakyat yang terkesan dan memastikan kerajaan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan beban ke atas peniaga-peniaga kecil.

Niat kerajaan untuk melaksanakan dasar percukaian yang lebih telus melalui e-invois ini sememangnya usaha yang bagus dan boleh disokong. Saya selaku mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa menyokong segala usaha menginovasikan muamalat dengan menggunakan teknologi. Akan tetapi, saya berpandangan bahawa pelaksanaan ini perlu dilakukan dengan berhati-hati. Saya sarankan agar kategori perniagaan  yang berpendapatan RM25 juta ke atas diberikan fokus perlaksanaan terlebih dahulu  sekurang kurangnya setahun dalam masa yg sama untuk kategori terutamanya peniaga kecil diberikan insentif sebagai galakan untuk beralih kepada sistem baru berkenaan.

Saya juga menyeru kepada kerajaan untuk mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan, termasuk peniaga kecil dan sederhana, untuk mendapatkan pandangan dan cadangan mereka sebelum melaksanakan e-invois ini secara menyeluruh pada Julai tahun hadapan. Kerjasama antara kerajaan dan rakyat amat penting untuk memastikan kejayaan pelaksanaan sistem ini tanpa menjejaskan ekonomi rakyat.

YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

12 Ogos 2024 / 8 Safar 1446H

Comments

Popular posts from this blog

Biodata : Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim

Nama Penuh:  DATUK HAJI AHMAD AMZAD BIN HASHIM  ( https://ms.wikipedia.org/wiki/Ahmad_Amzad_Hashim ) Emel: amzadhashim@yahoo.com  Alamat Pejabat:   PT 4006, Tingkat 1 Blok B, Perkedaian Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu Tempat Lahir: Kuala Terengganu Nama Pasangan:  Datin Dr Nur Diana Binti Ahmad Takri Bilangan Anak: 9 Orang PENDIDIKAN Sekolah Menengah: Sekolah Sultan Mahmud,  Kuala Terengganu (SESMA)  Tahun: 1983-1987 Universiti: Universiti Kebangsaan Malaysia Tahun: 1995 Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian 2 Atas ) Pengalaman Kerja: 1. Pengerusi Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd 2. Pengerusi Sukma Samudera Sdn Bhd,  3. Pengerusi KSB Supply Services Sdn Bhd 4. Pengerusi EPIC Properties Sdn Bhd. 5. Pengarah Eastern Pacific Industrial Corporation EPIC Bhd. 6. Pengarah Jasa Merin Sdn Bhd 7. Pengar...

Ceramah di UDM Limau Kasturi, PRK DUN Nenggiri

Full house. Penuh dalam khemah dan melimpah hingga ke luar. Ini isyarat jelas bahawa rakyat dalam UDM Limau Kasturi khususnya dan DUN Neggiri amnya sudah bersedia untuk membenamkan calon BN. Apa yang uniknya ceramah malam tadi turut diselangi dengan persembahan dikir barat yang sangat mempersona. InsyaAllah DUN Nenggiri milik Perikatan Nasional!!!!